Ku sanggup redah ke mana jua demi rakyat!
BERSEDIAKAH para pemimpin UMNO untuk keluar dari kepompongnya dan berkhidmat terus kepada rakyat tanpa protokol dan tindak tanduk birokrasi?
Ini adalah jawapan kepada samada UMNO mampu untuk memenangi hati rakyat serta mengelakkan parti itu dari kecundang pada Pilihanraya Umum 13 nanti. Pemimpin-pemimpin UMNO mesti turun ke padang dan bermain di gelanggang.
UMNO mesti kembali kepada rakyat dan pemimpinnya mesti meniru daripada Almarhum Onn Jaafar, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Panglima Bukit Gantang Wahab serta pemimpin-pemimpin lepas yang berperahu dan berbasikal ke kawasan-kawasan pendalaman bagi menakluki “hati dan jiwa” rakyat.
Selama ini, rakyat merasa mereka terpisah dengan pemimpin UMNO yang lebih selesa berkereta pacuan empat roda mewah dari menjenguk rakyat di kawasan-kawasan kampung. Bak kata seorang rakan, Hanafiah Man, editor Agenda Daily, peranan UMNO dahulu dalam mendekati rakyat telah diambil oleh puak dan juak PAS serta PKR.
Pemimpin UMNO tidak mahu lagi menghadiri kenduri-kendara orang-orang kawasan sebaliknya lebih suka berbincang di hotel lima bintang.
Mungkin atas kesedaran ini Dr Zambry Abd Kadir turun ke Telok Medan, Bagan Serai bertemu dan memahami permasalahan rakyat. Sebelum dan selepas beliau merasmikan Program Khidmat Masyarakat Siswa UiTM Seri Iskandar dan Belia 4B Bagan Serai pagi tadi, beliau mengadakan lawatan ke keluarga-keluarga miskin di Teluk Medan.
Ini termasuk menyumbangkan bantuan untuk memperbaiki beberapa buah rumah yang dhaif.
Walaupun pakatan cuba mengambil kesempatan mengibarkan bendera-bendera PAS dan PKR di kawasan-kawasan yang dilawatinya, Dr Zambry tetap terus bertemu rakyat.
“Ini biasa. Depa tak senang hati tengok kita kerja dan ambil berat hal rakyat. Depa hendak kita berpolitik siang-malam macam depa,” katanya apabila ada orang-orang kampung yang meminta maaf kerana pakatan mengibarkan bendera-bendera parti di kawasan itu.
Lawatan ke Bagan Serai ini adalah salah satu program bersama rakyat Menteri Besar bagi memastikan kerajaan negeri dapat memberikan khidmat terus kepada orang ramai tanpa halangan dan sekatan demokrasi.
Ini adalah antara langkah yang diambil oleh UMNO Perak bagi memastikan UMNO keluar dari kepompong lamanya dan membentuk satu imej baru bagi ia terus memahami dan difahami oleh rakyat. UMNO akan hanya mampu mengulangi kejayaan lamanya jika ianya berada dekat di hati dan mata masyarakat.
Keterangan gambar : Dato' Seri Dr Zambry bersama isteri Datin Seri Saripah Zulkifli bermotosikal melawat penduduk kampung di Telok Medan Bagan Serai.
No comments:
Post a Comment