Sunday, December 13, 2009

Petikan penulis Mokhtar Petah

Mokhtar Petah

Haji Mohd. Ghazali Jawi[1] kembali memegang jawatan Menteri Besar Perak kali yang kedua (1974 – 1977). Dia telah melakukan penyusunan baru dalam bidang pentadbirannya yang melibatkan kebanyakan rancangan dan projek Menteri Besar sebelumnya telah dihentikan atau di batalkan.

Di antara projek-projek Menteri Besar yang lalu diberhentikan, ialah akhbar suara kerajaan negeri Perak, Berita Perak. Kira-kira setahun kemudian, Berita Perak diterbitkan semula dengan bentuk lain dan menjadi gelanggang media bagi para politikus dalam parti politik pihak kerajaan. Suratkhabar itu diselanggarakan oleh Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Allahyarham Mohd.Arshad bin Abdullah. Sebelum meninggal dunia, dia memegang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan bergelar Dato’).

Kandungannya Berita Perak yang baru telah berbeza dengan kandungan Berita Perak di bawah pimpinanku. Hampir 80% kandungannya ada suara atau ucapan dari tokoh-tokoh dari parti politik kerajaan. Tidak lama kemudian surat khabar itu telah diberhentikan dan telah digantikan dengan sebuah suratkhabar lain.

Bandar Ipoh pada tahun-tahun 1970 – 1980-an, seperti bandar-bandar lain di seluruh negara, iaitu dibanjiri oleh para penghijrah yang berharap untuk mengutip rezeki mengubah corak kehidupan mereka di bandar. Mereka itu telah datang dari kampung-kampung seluruh negeri Perak dan negeri-negeri lain. Pada umumnya mereka menjadi buruh kerajaan, buruh kilang dan menjalankan perniagaan secara kecil atau sambilan.

Terdapat juga orang-orang kaya yang memiliki rumah besar, banglo atau memiliki banyak rumah dan haloba, telah mendirikan rumah-rumah bertaraf rumah setinggan dalam kawasan setinggan sekitar kawasan Bandaran Ipoh. Mereka telah menyewakan rumah-rumah mereka itu kepada setinggan-setinggan.

Setinggan-setinggan itu telah menduduki tanah-tanah Kerajaan Negeri (state lands) dan yang dimiliki oleh Kerajaan Pusat, seperti tanah Jabatan Kerjaraya, Jabatan Saliran dan sebagainya. Walaupun mereka setinggan yang sentiasa diperangi oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian negeri, tetapi Lembaga Letrik Negara telah membekalkan kuasa elektrik ke rumah-rumah mereka, begitu juga Jabatan Bekalan Air telah membenarkan setinggan-setinggan memasang paip dan membekalkan air kepada mereka.

Di antara setinggan-setinggan itu, ada juga beberapa orang kakitangan Pejabat Tanah Ipoh dan beberapa pejabat lain, guru sekolah kerajaan, anggota polis, tentera dan mereka yang menyokong parti politik kerajaan dan parti-parti politik pembangkang.

Pada masa itu ramai dari kalangan ahli parti-parti politik, golongan buruh, peniaga kecil, kakitangan kerajaan, warga kampung dan setinggan di sekitar kawasan Perak Tengah khasnya dan seluruh negeri Perak amnya kenal akan diriku ’seorang wartawan banyak mengkritik kerajaan’, maka apa jua masalah yang berlaku dalam masyarakat mereka, akulah menjadi tempat mereka mengadu atau meminta tolong.

Pada satu hari pegawai-pegawai Pejabat Tanah Ipoh dengan jentolak dan traktor telah datang untuk meroboh rumah – rumah setinggan, di Kampung Binaria, dekat lapangan Terbang Ipoh. Tiga orang wakil mereka, diketuai oleh Encik Zahid bin Siraj telah datang menemui aku dan meminta aku menolong mereka bagi menghalang tindakan pegawai-pegawai Pejabat Tanah tersebut.

Setelah mereka datang meminta pertolongan, aku rasa bertanggungjawab menolong mereka. Aku telah pergi ke pejabat Menteri Besar Perak untuk meminta surat dari Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Encik Yusof Bador bagi menahan atau membantah tindakan pegawai-pegawai Pejabat Tanah meruntuhkan rumah para setinggan tersebut

Aku telah membawa surat Setiausaha Sulit Menteri Besar itu kepada para pegawai Pejabat Tanah yang sedang meruntuhkan rumah-rumah setinggan di Kampung Binaria. Pada waktu aku tiba, dua tiga buah rumah setinggan telah dirobohkan. Surat tersebut telah menjadi penghalang kepada mereka untuk terus meroboh rumah-rumah setinggan itu.

Kebetulah pula, pada dua hari yang lalu seorang peniaga China telah memberi salinan cek bernilai RM5,000 kepadaku. Wang sebanyak itu telah diberikan oleh pihak jawatankuasa Jirat China kepada seorang pegawai di Pejabat Tanah Ipoh dengan tujuan suapaya dia meluluskan kawasan setinggan Melayu, di Kampung Binaria itu kepada pihak Jirat China.

Aku telah tiba di kampung Binaria itu pada jam 11.00 pagi dengan membawa kamera. Dua buah rumah setinggan di situ telah diroboh oleh kakitangan Pejabat Tanah dengan menggunakan jentolak. Mereka diketuai oleh ADO dan beberapa orang pegawai bawahannya dan dikawal oleh beberapa orang anggota polis.

Setelah aku mengambil gambar rumah-rumah yang telah roboh itu, maka aku telah menemui seorang dari pegawai-pegawai Pejabat Tanah itu. Dengan lagak sombongnya dia telah berkata kepadaku, ”...Encik Mokhtar, mike jangan nak halang kami, mike melakukan kesalahan menghalang pegawai kerajaan menjalankan tugas..., kami menjalankan arahan Menteri Besar, meke tau...”

Aku telah mengambil gambarnya dengan kameraku. Aku menarik keluar salinan cek bernilai RM5,000 dari saku bajuku dan menunjukkan kepadanya. Aku telah bertanya, ”...siapa terima wang ni, ...Encik, bukan?”

Pegawai itu mengamati kertas salinan cek di tanganku. Dia terpegun. Mukanya pucat dalam cahaya matahari. Sambil merenung kepada Penolong Pegawai Daerah yang sedang berdiri dekat kerangka rumah setinggan yang telah roboh, dia melaung kepada semua kakitangannya supaya berhenti meroboh rumah-rumah setinggan di situ.

Kemudian pegawai itu datang merapatiku dan merayu, ”...tolong, Encik Mokhtar,...I, I..., kami tak roboh lagi..., tolong jangan siarkan...”

Pada petang itu aku telah menemui Menteri Besar, Ghazali Jawi dan aku telah bertanya kepadanya, “...betul ke Tan Sri telah beri arahan merobohkan rumah setinggan di Kampung Binaria?”.

Ghazali Jawi tercengang.

”Kerajaan kita kerajaan politik, ...kalau Tan Sri beri arahan, setinggan-setinggan tu tak akan mengundi parti Tan Sri..., dia orang akan pilih pembangkang...,”kataku.

”Apa pendapat mike?” Ghazali Jawi bertanya.

”...Tan Sri kena cari jalan, walaupun perbuatan setinggan-setinggan tu salah, tapi undang-undang boleh diatasi dengan rasa perikemanusiaan, tidak semua undang-undang adil, kecualilah undang-undang Tuhan,”aku berkata.

”Ia, ...betul, betul kata mike tu,”sahut Ghazali Jawi.

”...Encik Mokhtar, kita sama-sama berjuang dalam UMNO dulu, ...saya minta Encik Mokhtar tolong berunding dengan semua setinggan sekitar Ipoh ni, biar deme tu sukat tanah tapak rumah deme tu kira- kira 100 X 50 atau 90X60 persegi, saya akan arahkan Pejabat Tanah luluskan tanah deme tu,”katanya.

”Baik, Tan Sri...,”sahutku.

Aku telah meminta kepada Ghazali Jawi supaya dia mengambil langkah-langkah yang dinamik, seperti mengarahkan pihak pejabat tanah Kinta dan Ipoh meluluskan tanah-tanah setinggan sekitar Bandar Ipoh. Dia telah berjanjikan menunaikan permintaanku itu.

Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri, Ghazali Jawi telah mengumumkan, bahawa dia telah mengarahkan Pejabat Tanah Kinta dan Ipoh supaya meluluskan kebanyakan tanah kerajaan negeri kepada setinggan-setinggan.

Kira-kira dua bulan kemudian semua tanah tapak rumah yang telah diteroka oleh setinggan-setinggan Melayu di Kampung Binaria telah diluluskan kepada mereka

Dengan kehendak Ghazali Jawi, sidang Dewan Undang Negeri Perak yang telah berlangsung pada beberapa bulan kemudiannya telah membuat keputusan, iaitu mana-mana tanah Kerajaan Negeri yang tidak ada rancangan di atasnya, yang telah diduduki oleh setinggan-setinggan Bumiputra hendaklah diluluskan kepada mereka.

Semenjak itulah, Kerajaan Negeri Perak telah lebih mementingkan masalah setinggan daripada mementingkan syarikat-syarikat yang membina kawasan perumahan untuk mengaut keuntungan.

[1] Tan Sri Ghazali Jawi berasal dari Kampung Bukit Nangka, Lenggong, Perak. Menteri Besar Perak

pertama setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Dia telah

melepaskan jawatannya pada tahun 1963 kerana dia ditahan oleh polis setelah difitnah menerima

rasuah sejumlah wang. Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman dengan kuasa yang ada padanya telah

mengambil langkah membatalkan kes itu dan telah melantiknya sebagai Duta PTM ke Republik

Arab Bersatu, Mesir. Sekembali dari Mesir , dia telah bertanding dalam pilihanraya Fedara kawasan

Kuala Kangsar dan kemudian memegang jawatan Menteri Pertanian. Pada tahun 1974 kembali

menjadi Menteri Besar Perak kali yang kedua. Aku mengakui Ghazali Jawi seorang ahli politik

Melayu yang bijak dan tegas menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin kerajaan Negeri

Perak.

(Sedutan dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. - Editor, Petah Shahrir Aidid).

No comments:

Post a Comment