Friday, August 14, 2009
Pemuda Penentu Kemenangan UMNO
salam seDunia..
Maaf terlebih dahulu pada semua kerana beberapa hari ini saya tidak berkesempatan untuk menulis dalam blog saya kerana saya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang padat sepanjang minggu ini. Saya bersama Dato' Khusairi Talib Setiausaha Perhubungan UMNO Perak yang baru, telah bergerak ke bahagian-bahagian ke serata Negeri Perak untuk program mengerakkan ahli UMNO supaya dapat meneruskan gerak kerja bagi mengukuhkan Parti UMNO. Tanpa ahli yang aktif, sesuatu parti politik itu pasti tidak akan menjadi kuat.
Sepanjang program ini, saya dapat membuat penilaian bahawa ahli-ahli UMNO diperingkat akar umbi khususnya, sangat dahagakan penerangan dan maklumat tepat dari peringkat atasan bagi mereka memantapkan keyakinan diri sendiri serta membantu meyakinkan rakyat setempat bahawa UMNO masih berkuasa serta masih berupaya untuk menambahkan kekuatan. Tidak dinafikan bahawa ahli UMNO yang berada di saluran satu dan saluran dua masih kukuh pendirian mereka bersama UMNO. Tetapi agak mendukacitakan apabila secara terang, Pergerakan Pemuda dan Puteri nampak lesu dan tidak bermaya. Jumlah kehadiran golongan muda-mudi ini adalah amat kurang dalam program-program yang telah dianjurkan oleh UMNO selama ini.
Saya sedang mengkaji penuh teliti, dimanakah kesilapannya UMNO selama ini kerana gagal menarik pengundi muda. Bagi pandangan saya secara peribadi, ini adalah kerana golongan Pemuda dan Puteri ini telah banyak berhijrah ke bandar-bandar besar untuk meneruskan cita-cita serta mengejar kestabilan kerjaya dan ekonomi. Oleh kerana gaya kehidupan di bandar yang sibuk, golongan muda-mudi berupaya untuk mengejar arus kemodenan kehidupan di bandar maka, mereka ini terpinggir dari menyertai sebarang aktiviti berparti mahupun Persatuan. Kebanyakan mereka lebih suka membicarakan tentang hal kerjaya, hiburan, sosial dan masalah peribadi masing-masing. Mereka tidak berkesempatan untuk memikirkan hal negara mahu pun soal-soal perjuangan. Rata-rata mereka beranggapan, soal perjuangan tentang Agama, Bangsa dan Negara bukan urusan mereka.
Inilah tugas berat yang harus dipikul oleh Pemuda dan Puteri UMNO. Pemimpin Pergerakan Pemuda yang ada sekarang harus sedar dan mencari jalan penyelesaian dengan segera jika mahu melihat UMNO terus kukuh dan menjadi tonggak memerintah negara. Permatang Pasir UMNO telah mempertaruhkan seorang calon muda. Kita mahu melihat sejauh manakah calon muda ini dapat menarik undi golongan muda. Saya teruja untuk melihat hasil daripada keputusan Pilihanraya Kecil Permatang Pasir kelak. Jika kita melihat 'trend' pengundi di Manek Urai, pengundi muda memang boleh diharapkan untuk bersaing dengan parti PAS dan PKR. Saya amat berharap kali ini strategi UMNO menjadi.
Selama ini, cara lama merayu undi telah diserahkan sepenuhnya pada kaum wanita sahaja dan kaedah ini sudah tidak sesuai untuk dipakai atau dipraktikkan di masa kini. Seharusnya perayu undi wajib dipertanggungjawapkan kepada semua golongan. Maksudnya di sini ialah, Pemuda harus menjadi perayu undi kepada pengundi muda kerana masalah pemuda tidak dapat diselami oleh kaum wanita, tambahan pula pemuda sekarang sukar untuk kita temui dirumah-rumah. Begitu juga Puteri, hanya puteri yang paling layak merayu dan berjumpa dengan golongan pengundi sebaya dengan mereka. Bagi golongan dewasa pula, tugas mereka ialah mencari pengundi sebaya mereka kerana gaya bahasa, tahap pemikiran, cara bergaul yang digunakan adalah sama. Jika ini dapat dilakukan maka UMNO pasti akan dapat bersaing dengan PAS untuk memburu kemenangan di Permatang Pasir.
Saya meletakkan harapan bahawa UMNO telah benar-benar belajar dari beberapa pengalaman Pilihanraya Kecil sebelum ini yang semuanya tidak menyebelahi pada UMNO. Apa pun kunci kemenangan adalah PENYATUAN, KERJA KERAS dan TAKDIR ALLAH S.W.T.. Jika UMNO Permatang Pasir boleh bersatu, tidak ada sebab untuk UMNO boleh lemah dan kalah. Saya ucapkan selamat berjaya kepada calon UMNO.
Sekian Terima Kasih
-Hamdan Taha-
Monday, August 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment