Wednesday, July 15, 2009

Konsep Satu Malaysia Mampu Satukan Pelbagai Kaum: Najib

PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Pelaksanaan pelbagai program, yang lebih adil dan saksama terhadap semua etnik, selaras dengan konsep 'Satu Malaysia' mampu menyatukan pelbagai kaum di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pelaksanaan konsep itu akan dilakukan secara teratur dan sistematik bagi memastikan tidak ada kaum-kaum di negara ini yang terpinggir daripada sebarang pembangunan.

Katanya konsep 'Satu Malaysia' ditunjangi oleh dua prinsip utama iaitu sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain dan keyakinan antara satu sama lain.

"Apabila kita sudah menghormati antara satu sama lain bererti kita sudah mempunyai sikap terbuka untuk menghayati konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

"Keyakinan antara satu sama lain tidak akan berlaku secara mengejut. Ia harus dibangunkan secara teratur dan bersungguh-sungguh," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakej rangsangan ekonomi di sini, Rabu.

Menjawab soalan mengenai keadaan masyarakat India yang dikatakan agak terpinggir di negara ini, Najib berkata pertambahan daripada aspek peruntukan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan adalah antara langkah bagi memastikan pembahagian yang lebih adil untuk semua.

"Polisi-polisi tertentu dan pertambahan peruntukan untuk masyarakat India, seperti bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang diadakan hari ini adalah langkah kerajaan untuk memastikan pembahagian yang lebih saksama.

"Bantuan ini diluluskan bukan kerana pilihan raya kecil tetapi kerana saya mahu pakej rangsangan ini dilaksanakan segera," katanya.

Pada majlis itu, 374 SJKT dari sembilan negeri menerima peruntukan dengan jumlah keseluruhan RM80 juta untuk kemudahan prasarana dan pelaksanaan pelbagai projek mengubah suai dan menaik taraf.

No comments:

Post a Comment