Tuesday, December 22, 2009

FIKIRKAN LAH BANGSA KU MELAYU

Turunkan sikap ultrakiasu sebelum berdebat
Mingguan Malaysia, 6 Disember 2009

Pada pagi 25 November 2009, saya menerima panggilan daripada ibu pejabat MCA. Panggilan tersebut disusuli dengan surat jemputan rasmi daripada Pemuda MCA mengajak saya berdebat dengan ketua mereka secara terbuka bersama Prof Khoo Kay Kim mengenai sekolah satu aliran. Selepas itu saya menerima panggilan daripada akhbar Cina mengenai respon saya berkaitan cabaran tersebut. Saya katakan kepada mereka baca respon saya dalam Mingguan Malaysia. Dulu saya boleh bersabar setelah dikutuk dan dicerca selama berminggu-minggu oleh akhbar sekutu ultra kiasu ini, kenapa kali ini akhbar tersebut tidak boleh bersabar menunggu jawapan saya. Apakah berita mengenai saya mahu diekspoitasikan lagi? Sabarlah, sebab sabar itu sebahagian daripada iman.

Alhamdulillah, masanya telah tiba. Saya amat bersyukur Kay Kim telah menerima jemputan tersebut. Biar kita berbincang secara terbuka. Kalau boleh forum atau debat ini disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen dan media elektronik di negara kita. Biar rakyat tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam usaha untuk memperkasakan sebuah negara bangsa. Pendidikan negara tidak boleh dipolitikkan. Ia terlampau suci dalam memperkasakan anak bangsa kita berbilang kaum ini. Saya ingin mencadangkan supaya forum tersebut dikendalikan dalam bahasa Melayu sebagai menyahut seruan 1Malaysia, bukannya bahasa Inggeris. Kita juga mahu melihat watak segelintir produk SJKC yang dipilih khas untuk membahaskan isu-isu ini dalam bahasa kebangsaan.

Sebelum berdebat, saya ingin berpesan kepada ketua pemuda MCA dan rakan-rakannya yang begitu ghairah supaya menyelesaikan sandiwara parti sendiri dahulu. Adakah debat ini bertujuan untuk mengalihkan perhatian terhadap masalah dalaman parti? Atau apakah mungkin masalah parti ini digunakan sebagai alasan untuk menuntut dan mendesak? Nasihat saya, jangan terikut-ikut dengan rentak parti ultra kiasu yang tidak pernah mahu mengalah. Parti ultra kiasu ini amat licik, dan pandai mengambil kesempatan. Apakah ada pakatan dalam menimbulkan isu ini?

Saya cadangkan ketua pemuda tersebut berhenti menangis disebabkan masalah dalaman parti sebelum berdebat. Saya bimbang selepas berdebat nanti menangis lagi. Jangan buang air mata kerana politik. Biarlah kita banyak menangis memikirkan kebesaran Tuhan dan bersyukur dengan nikmat yang melimpah-ruah di negara kita. Itu lebih membawa makna. Kuasa yang diperolehi pada hari ini adalah pinjaman. Ia boleh hilang bila-bila masa seperti apa yang melanda parti pemuda itu. Justeru, gunakan dengan betul, jangan terlalu mendesak sehingga terikut-ikut rentak parti ultra kiasu. Kita perlu ada pendirian, terutama dalam memperkasakan 1Malaysia.

Saranan saya lagi, sebelum berdebat, pemuda MCA kena fikirkan dan merangka strategi bagaimanakah hendak memenangi hati orang Cina pada pilihan raya akan datang agar tidak terlepas ke tangan golongan ultra kiasu. Tidakkah MCA sedar bahawa kerusi yang mereka menangi hari ini adalah kerusi yang dipertandingkan di kawasan majoriti Melayu? Jangan pura-pura buat tidak faham akan toleransi dan sokongan orang Melayu? Mungkinkah orang Melayu (Islam) akan menang jika bertanding di kawasan bukan Melayu? Sebenarnya orang Melayu amat berat untuk mengundi orang bukan Melayu jika ada calon Melayu bertanding di tempat yang sama. Kenapa mereka sanggup undi bukan Melayu (Cina dan India)? Saya minta kajilah sifat-sifat mulia ini. Jangan asyik jadi melompat apabila sekolah vernakular diusik. Fikirkanlah soal masa hadapan.

Ingatlah! orang Melayu yang memberikan kemenangan kepada MCA. Jika tidak, MCA dan Gerakan akan berputih mata. Berapa banyak lagi jawatan senator akan dilantik untuk memenuhi kuota orang Cina di negara kita ini. Jika dikira undi yang dimenangi oleh MCA apabila menentang DAP, kebanyakan undi MCA adalah undi Melayu walaupun ia kalah di tangan ultra kiasu. Siapakah yang lebih bertolak ansur dan tidak perkauman? Melayu sanggup ketepikan prinsip semata-mata kerana MCA. Beruntungnya MCA dan Gerakan, walaupun kalah, kerusi senator tetap ada.

Lebih jelas lagi, semakin parti ultra kiasu memenangi banyak kerusi, semakin banyaklah kerusi senator untuk MCA dan Gerakan. Untung sungguh ketiga-tiga parti ini. Menang atau kalah, tetap menang. Siapakah yang rugi? Orang Melayu juga yang terpaksa berkorban. Sikap berkorban ini amat baik terutama sempena hari raya korban, tetapi jangan sampai terkorban! Pihak yang satu lagi bila mahu berkorban? Takkan sekadar hadiri majlis-majis korban untuk mengatakan inilah semangat 1Malaysia. Kemudian ditampal dalam blog. Taktik ini sudah basi. Kalau tidak percaya lawati laman blog ahli parlimen ultra kiasu dan tidak kurang laman pemuda yang mahu berdebat itu.

Terbaru, beberapa pertubuhan Cina telah menyuarakan hasrat mereka mendesak kerajaan menggantikan MCA dengan mereka kerana MCA sudah tidak lagi boleh mewakili kepentingan orang Cina. Saya ingin bertanya berapa banyak lagi pertubuhan mahu diminta untuk mewakili kepentingan orang Cina. Tidakkah parti ultra kiasu, Gerakan dan NGO-NGO perkauman itu sudah mewakili? Lantang mengkritik, di dalam ada yang memujuk. Ini tidak termasuk negeri-negeri yang dimenangi oleh sekutu ultra kiasu seperti di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, tidak ketinggalan Perak sebelum ini? Apakah suara mereka tidak ada jika MCA tidak wujud? Pada hemat saya, jika tidak ada parti-parti perkauman ini hak mereka tetap terpelihara, sebab ia telah dijamin dalam perlembagaan dan juga ajaran suci Islam.

Saya yakin, Islam yang dianuti oleh orang Melayu tidak akan meminggirkan orang bukan Islam berbanding nasib orang Melayu di Singapura. Terbukti, apabila orang Islam memerintah, bukan Islam boleh hidup senang lenang. Hak mereka terjamin. Semua ini berpunca daripada toleransi ajaran Islam yang mengajar penganutnya supaya tidak melaku penganiayaan terhadap orang lain. Tetapi apabila bukan Islam memerintah, orang Islam amat tersiksa jiwa raga mereka.

Ambillah pengajaran filem kisah benar bersejarah Kingdom of Heaven yang ditayangkan di TV2 baru-baru ini mengenai hubungan antara Islam (Sallahuddin al-Ayubi) dan Kristian dalam perang salib berhubung kota Baitulmaqdis pada tahun 1188. Ketika tentera salib memerintah, umat Islam dibunuh sewenang-wenangnya. Kekejaman digambarkan sehingga darah umat Islam yang dibunuh sampai ke paras lutut. Namun, apabila tentera Islam berjaya menewaskan tentera salib, bukan Islam tidak dibunuh, malahan hak-hak mereka sentiasa dijaga. Tawanan perang tentera salib turut diberi rawatan oleh orang Islam. Inilah hebatnya ajaran Islam yang terus dipraktikkan pimpinan Islam negara kita sehingga ke hari ini. Justeru, janganlah ambil kesempatan sehingga hilang rasional dan menjadi ultra kiasu?

Dalam surat pemuda MCA kepada saya, mereka mengatakan artikel saya tulis pada 22 November telah mengundang kemarahan ibubapa, murid-murid dan alumni sekolah Cina. Persoalan saya, bilakah kajian dibuat? Takkan dalam masa 3 hari MCA telah membuat penyelidikan dan mendapat jawapan. Apakah saya silap melabelkan ultra kiasu ini pada kumpulan tertentu sahaja, sehingga terlepas pandang pada sayap pemuda ini? Saya harap pemuda MCA tidak sampai ke tahap itu. Sekian lama berada di dalam BN, takkan masih tidak faham lagi aspirasi dan cita rasa kerajaan? Jangan terikut dengan parti ultra kiasu, nanti generasi kita yang rugi.

Terus terang saya katakan, orang Melayu tidak akan rugi untuk jangka masa panjang jika peningkatan bilangan mereka semakin bertambah, manakala bilangan orang Cina terus menurun. Tak tahulah pulak jika kita tukar strategi dengan membawa masuk orang Vietnam dan China dengan cara mengahwini mereka! Mungkin Kementerian Dalam Negeri boleh siasat. Sekiranya trend peningkatan ini terus berlaku, bermakna hak Melayu akan menjadi semakin banyak. Mereka boleh ubah perlembagaan pada masa akan datang, termasuk menghapuskan sekolah vernakular. Akibatnya, siapakah yang rugi nanti? Justeru, jangan terlalu mengambil kesempatan disebabkan oleh situasi politik yang tidak banyak menyebelahi Melayu Islam pada hari ini.

Jika kita terus menerus menjadi defensif dan ultra kiasu, yang rugi nanti adalah anak cucu cicit kita. Adalah lebih baik hari ini kita lebih memahami orang Melayu daripada terlebih memahami barat. Kalau kita terus tunjukkan keras kepala akhirnya keturunan kita yang menjadi mangsa. Ketika itu kita telah menjadi nenek moyang. Kita akan dikutuk habis-habisan oleh generasi akan datang kerana terlampau ultra kiasu.

Namawee adalah contoh jelas ultra kiasu. Sudahlah kontroversi menghina lagu Negaraku masih panas, terbaru mengenai sikap ultra kiasu beliau terhadap TNB. Saya tidak menyalahkan beliau sepenuhnya. Sikap TNB juga perlu diperbetulkan. Adakah kita serius dengan bisnes kita? Talian 15454 kadangkala memang tidak dijawab, setelah dihubungi beberapa kali. Ini menyebabkan Namawee datang sendiri ke pejabat TNB disebabkan oleh masalah blackout di kawasan kediamannya. Beliau memaki-hamun TNB dengan kata-kata amat kesat dalam bahasa Cina apabila aduan beliau tidak dilayan dengan baik oleh kakitangan TNB yang ketika itu yang sedang makan pisang dan minum kopi. Spesis ini sebenarnya masih ramai. Pembawaan sikap ini ada kaitan dengan sistem pendidikan dan politik perkauman hari ini.

Biro Tata Negara tidaklah sebahaya sikap ultra kiasu. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dengan hujah yang disampaikan BTN seperti yang dilaporkan, sebab kita ada hak untuk menerima atau menolak. Sama juga situasi kenapa parti ultra kiasu dan sekutunya boleh berkawan dengan PAS, tetapi menolak negara Islam PAS? Sikap ini lagi bahaya sebab kita menjadi duri dalam daging atau musuh dalam selimut. Berpura-pura baik di hadapan, di belakang menikam. Pada saya, kita kena fikir bahaya di depan mata iaitu ego sikap ultra kiasu, pendidikan perkauman dan politik perkauman.

Saya akan bersetuju dengan kursus anjuran pakatan ultra kiasu mengganti kursus BTN jika kursus tersebut boleh menurunkan sikap ultra kiasu yang bersarang pada diri mereka termasuk yang menjemput berdebat? Saya bimbang mereka akan terus menjadi lebih ultra. Kalau tidak percaya, cuba masukkan satu modul mengenai sistem kenegaraan Melayu, negara Islam dan hak-hak istimewa Melayu untuk dibincangkan bagi lebih memahami hasrat orang Melayu dan Islam. Lihatlah reaksi segelintir mereka dalam ketiga-tiga parti ini?

Berkali-kali telah saya sebut, tolak ansur yang ada pada masa kini perlu dihargai. Tidak cukup dengan itu, akta demi akta undang-undang telah dipinda untuk menjaga hati dan memuaskan semua pihak, sehingga hati sendiri terguris, tetapi sekumpulan ultra kiasu ini tidak pernah puas. Beri betis hendak peha. Kita perlu melakukan sedikit pengorbanan hari ini, jika tidak generasi akan datang akan terkorban. Fikirkan semua isu ini sebelum kita berdebat.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Kita akan kalah jika terus mengalah

Mingguan Malaysia, 29 November 2009

Ramai orang bertanya, kenapa Lee Kuan Yew berjaya dengan sistem satu aliran pendidikan di Singapura dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Lee Kuan Yew dipuji melambung kerana dikatakan sanggup korbankan bahasa ibunda demi kepentingan negara. Betulkah? Jawapan saya, Lee Kuan Yew tidak ada pilihan. Justeru, beliau terpaksa bertindak tegas. Jika ada pilihan, saya yakin beliau tidak akan bertindak sedemikian. Ingat! bahasa Mandarin masih dijadikan subjek penting di sana berbanding bahasa Melayu, dengan alasan mereka adalah majoriti.

Sejarah Singapura perlu difahami kenapa Lee Kuan Yew memilih bahasa Inggeris? Jika Singapura bukan berasal daripada sistem kenegaraan Melayu, saya yakin Lee Kuan Yew tidak akan memilih bahasa Inggeris. Lee Kuan Yew sudah lama dapat membaca pemikiran psikologi orang Melayu. Kebolehan beliau menulis dan membaca jawi sudah dapat mencairkan orang Melayu. Jika bahasa Cina digunakan, sudah tentu ia akan ditentang oleh orang Melayu ketika itu.

Singapura tidak boleh dipisahkan dengan Melayu. Sehingga ke hari inipun saya masih mengatakan Singapura adalah sebuah negara Melayu di Kepulauan Melayu. Kecuali Singapura itu berada di gugusan kepulauan seperti Taiwan, baru saya mengikhtiraf negara itu sebagai negara bangsanya. Lee Kuan Yew hanya mengorbankan bahasa mandarin buat sementara waktu. Janganlah kita buat andaian bahawa Singapura maju kerana menggunakan bahasa Inggeris. Sifat ultra kiasu amat berkait rapat.

Kita pula janganlah terlalu hairan kenapa Singapura boleh keluar sebagai negara maju dalam jangka masa cepat? Jika ditakdirkan Singapura sebesar Malaysia atau Indonesia, saya yakin ia tidak ke mana juga. Singapura bernasib baik sebab faktor lokasi dan saiz banyak membantunya untuk keluar menjadi negara maju. Jangan terlalu kagum dengan kepemimpinan mereka, sehingga kita lupa apa yang telah dilakukan terhadap negara kita sebelum ini. Masih ingatkah sejarah dan titik hitam pemisahan Singapura-Malaysia? Adakah kemasukan Singapura ke dalam Malaysia benar-benar ikhlas? Bacalah sejarah. Apa yang penting hari ini ialah bagaimana untuk menangani sikap ultra kiasu mereka yang amat bahaya kepada politik negara kita. Ingat, pengikut-pengikut ultra kiasu Singapura ini masih ramai berada di negara kita, dengan sebab itu mereka tidak habis-habis menuntut dan mendesak. Apakah kita masih tidak sedar? Ringkasnya, mereka tidak bersendirian.

Lihatlah berapa banyak tanah-tanah strategik yang telah tergadai? Begitu juga dengan rumah-rumah mewah yang telah dibeli? Jangan lupa perjanjian air dan kawasan tadahan air yang dijaga oleh tentera Singapura walaupun berada di Johor. Lee Kuan Yew teramat jarang melawat Malaysia selepas pemisahan, kenapa beliau sanggup ke negara kita baru-baru ini terutama ke Pulau Pinang? Sedarkah kita apa yang dibincangkan secara tersurat dan tersirat? Fikirkanlah. Jangan terlepas pandang pula nasib Melayu di Pulau Pinang? Janganlah bila sudah terhantuk baru mengadah. Sebelum terhantuk perlulah berhati-hati. Bila nasi sudah menjadi bubur sudah terlambat. Perpecahan sesama kita adalah petanda jelas kejayaan mereka.

Sedarlah wahai saudaraku, Melayu Islam di Singapura telah berjaya dicairkan. Hari ini segelintir orang Melayu yang digula-gulakan dengan kuasa sudah tidak seperti Melayu Islam. Mereka bukan sahaja telah cair, tetapi sudah tidak berhati Melayu Islam, kecuali mereka yang masih bertahan di madrasah. Sejauhmana madrasah dapat bertahan? Itu masih menjadi persoalan besar hari ini. Kedudukan madrasah menjadi semakin terhimpit. Begitu juga dengan masjid-masjid mereka. Apakah kita belum sedar? Cukuplah Pulau Batu Putih yang telah terlepas. Janganlah selepas ini kita berputih mata. Ambillah pengajaran ini sebelum terlambat. Mereka yang kuat berjiwa Melayu Islam memang tidak akan terpilih menjadi pemimpin atau menteri di sana. Dengan sebab itu, orang seperti Dr Lily Zubaidah Rahim (2001) terbuang di bumi sendiri. Hanya kerana bercakap menjaga kepentingan Melayu Islam. Apakah kita tidak mengambil pengajaran?

Cuba kita fikir kenapa hari ini Singapura membelanjakan hampir USD11 bilion setahun memperkuatkan sistem pertahanan negaranya dengan populasi hanya 4.6 juta yakni nombor 23 dalam ranking dunia? Lebih dua kali ganda lebih besar daripada perbelanjaan pertahanan Indonesia (USD 4.7 bilion). Perbelanjaan pertahanannya jauh meninggalkan negara kita yang tidak langsung tersenarai dalam ranking dunia. Sedarkah kita sekutu rapat mereka adalah musuh-musuh Islam seperti Israel, Amerika, Australia, Britain dan sebagainya? Tidakkah kita terfikir, apakah agenda mereka sebenarnya kalau bukan kita? Saya yakin kita tidak akan terlepas pulau Batu Putih jika kekuatan kita melebihi kekuatan mereka. Ancaman dan amaran kita sudah cukup untuk menggetarkan mereka. Tetapi kenapa mereka begitu berani dan kurang ajar? Sebab mereka tahu, sejauhmana kekuatan mereka dan telah bersedia menghadapi apa jua situasi. Tendensi untuk mereka menang besar adalah tinggi.

Mungkin pakar-pakar pertahanan tidak bersetuju dengan saya. Tetapi kita mesti ingat, hari ini kita tidak lagi berperang menggunakan manusia, kecanggihan teknologi adalah kekuatannya. Bandingkan teknologi pertahanan perang kita dengan Singapura. Bezanya ibarat langit dengan bumi. Kita sepatutnya membelanjakan wang negara untuk pertahanan. Malangnya, wang ringgit kita banyak digunakan untuk berpolitik daripada mempertahankan negara. Sudah sampai masanya kita kurangkan sedikit berpolitik untuk membina kekuatan pertahanan negara.

Sampai bilakah kita mahu terus bersangka baik dengan mengatakan perang dingin telah tamat, dunia sudah aman? Musuh telah tiada, maka kita tidak perlu menjadi kuat? Tidakkah kita sedar bahawa musuh bertambah kuat dan sentiasa berpakat merancang untuk memusnahkan kita?

Justeru, saya menyerukan supaya kita jangan terlalu berpolitik. Masa dan wang ringgit banyak dihabis untuk menewaskan sesama sendiri. Malangnya, kita tidak hanya berpolitik dalam politik, tetapi dalam bidang lain pun berpolitik juga. Misalnya perebutan jawatan atau kuasa dalam badan-badan awam, berkanun, NGO dan sebagainya. Ini belum termasuk isu rasuah. Pendek kata, dalam bidang apapun diperkatakan, umat Islam kita berpolitik. Politik yang merugikan dan melemahkan. Ultra kiasu ambil kesempatan.

Musuh sentiasa merancangkan untuk melaga-laga kita sesama umat Islam. Hari ini kita dilaga-lagakan dengan Indonesia? Siapakah provokatornya? Marilah kita fikirkan bersama. Logiknya mudah, bila negara-negara Islam berjiran bergaduh sesama sendiri, mudahlah negara ultra kiasu dan orang ultra kiasu ini menyusun strateginya. Janganlah kita terlalu beremosi, takut memakan diri.

Barat telah berjaya melaga-lagakan negara-negara Arab. Hasilnya, negara haram Israel berjaya menguasai negara-negara Arab dengan nisbah 1 orang Israel, lebih 100 orang Arab. 100 Arab tidak dapat mengalah 1 Israel. Sedangkan dari segi logik, akan banjir 1 orang jika 100 orang pakat-pakat kencing ke atas Israel ini. Keadaan berlaku sebaliknya. 1 berjaya mengalahkan 100. Senario Arab-Israel hampir sama dengan negara kepulauan Melayu-Singapura. Mereka sudah bersedia dengan segala kekuatan teknologi. Kita asyik berpolitik tanpa kesudahan.

Kita bernasib baik kerana hari ini kita menjadi pengguna teknologi, bukan pencipta. Kebaikannya, kita tidak perlu lagi menghabiskan masa mencipta teknologi kerana ianya telah tersedia dicipta. Masa mencipta teknologi telah banyak dijimatkan. Tuntutan hari ini adalah menggunakan teknologi tersebut sepenuhnya dan diperkembangkan lagi kehebatan seperti yang cuba dilakukan oleh Iran hari ini. Tetapi Iran cuba dimangsakan oleh barat.

Barat dan ultra kiasu ini telah berjaya membaca pemikiran umat Islam. Mereka tahu teknologi mereka digunakan oleh Islam. Orang Islam akan menjadi kuat jika memperkembangkannya. Justeru, sebelum ia berlaku maka dipecah-belahkan dan dicairkan mereka supaya mudah dikuasai. Ternyata strategi mereka berjaya. Umat Islam berjaya dikuasai dan dipecah-belahkan. Bukan kerana mereka tidak pandai menggunakan teknologi, mereka pandai. Tetapi mereka dihasut supaya mempertikai atau bergaduh sesama sendiri dalam isu-isu remeh temeh seperti tarian pendet Bali. Malangnya, yang tidak bergaduh pula tidak memanfaatkan teknologi, tetapi menggunakannya secara salah. Akhirnya jiwa menjadi kosong dan cair.

Justeru, saya merayu agar kita dapat memulakan langkah pertama dengan menyelesaikan isu-isu asas mengenai pendidikan di negara kita. Ini kerana pendidikan amat penting sebagai benteng pertahanan. Ia harus dimulakan dengan sekolah satu sistem. Asas-asas patriotisme berada di situ. Jangan perjudikan masa depan dan keselamatan negara sistem ini demi untuk mempertahankan kuasa hari ini. Jika dengan kehilangan populariti, masa depan pendidikan boleh dipertahankan, rasanya tidak mengapa kita tidak popular buat sementara waktu. Apa guna populariti, jika masa depan pendidikan dan negara menjadi semakin terhakis. Berundur bukan bererti kita mengalah. Tetapi untuk bersiap sedia dengan kekuatan, daripada kita terus mengalah dan terus kalah. Saya masih teringat kata-kata latin yang berbunyi si vis pacem para bellum, bermaksud jika mahukan keamanan bersedialah untuk berperang. Adakah kita sudah bersedia ke arah itu, di kala orang lain telah lama bersedia? Jika mereka terlalu ultra kiasu, adakah kita akan terus mengalah? Kitapun kena bertindak tegas ke atas mereka untuk kepentingan masa depan. Ingat! kita akan kalah jika terus mengalah.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Saturday, December 19, 2009

PENANG, Dec 19 – Gerakan president Tan Sri Dr Koh Tsu Koon rejected calls from the state Umno to take over the state Barisan Nasional (BN) chairmanship.

Koh, who is also the present state BN chairman, said the post has been held by Gerakan leaders for more than 35 years.

“So why should we raise it again where it is very clear that any changes will not be agreed by Gerakan,” he told reporters before officiating the Penang Teenage Improvement Leadership Training Camp here today.

Koh was commenting on a call by the state Umno Liaison Committee chairman Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi that the state BN chairman’s seat should be held by an Umno leader as Umno held all the seats won by the BN in the state during the last general election.

However, Koh said since Gerakan has been holding the post for so many years, the party would object to any proposal for change.

“The arrangement of the chairmanship was endorsed again in the middle of this year by the BN supreme council and it should not be raised yet again,” he said.

Koh, who is Minister in the Prime Minister’s Department, also urged Umno leaders not to raise sensitive issues that may damage the image of BN and even Umno.

“It would not benefit any party by raising the issue again, instead it may only damage BN’s image in the eyes of the community in Penang and elsewhere,” he said.

Yesterday, during the state Umno meeting chaired by Ahmad Zahid who is also the Defence Minister, he was quoted as saying that the request for the chairmanship was not in the interest of any individual but for the sake of the party that won 11 seats during the last General Election.

Ahmad Zahid also hoped that Penang Umno’s desire to take over the chairmanship would be considered by the BN supreme leadership. – Bernama

Tuesday, December 15, 2009

Apakah in kenyataan benar yang berlaku ketika dailog di London?

SUK Perak Hina Student di London

Dewan kuliah di King's College London agak penuh. Zambry Kadir sebagai ahli politik, membentang dan menjawab persoalan secara politik. Maknanya susahlah nak cari salah dia. Semua jawapannya sudah ada.

Dari rumah lagi aku plan tak nak tanya kat majlis. Entah mengapa, tangan aku gatal angkat tangan. Jadi, aku cakap; kalau pasal pengalaman cross over ahli politik, pihak lain tak boleh challenge UMNO yang banyak pengalaman. Dari tahun 1959 (Terengganu), 1967 (Kelantan – gagal), 1969 (13 Mei), 1985 (Sabah) dan 2008 (Perak). Samada nak terima atau tidak, UMNO memang hebat bab ini. Anwar Ibrahim tak boleh lawan. Ini bukan kes Perak atau Malaysia. Banyak lagi pemimpin negara lain di dunia yang senafsu dengan pemimpin UMNO.

Aku tak setuju pandangan Zambry yang menyebut, `sudahlah jangan banyak politik sangat.....'. Kenyataan ini menggambarkan agar rakyat jangan sibuk berpolitik. Biarlah rakyat bangang politik. Senang orang politik kawal. Macam setengah ulama jahat yang menasihatkan agar umat Islam menjauhi politik. Politik itu kotor. Kita orang baik-baik ini tak payah campur. Ohh.....senang Sultan, penguasa, British berkuasa. Jangan elitkan politik menjadi milik ahli politik. Rakyat kena patuh dan ikut. Mana boleh! Ehh… lepas itu, baru Zambry mengiakan kata aku.

Zambry duduk tengah di meja depan. Kirinya, Dato Fairuz Penasihat Undang-undang Perak. Kanannya, Dato Abdul Rahman SUK Kerajaan Negeri Perak. Dato Fairuz bagi kuliah undang-undang yang membosankan. Semuanya untuk melegitimasikan tindakan politik. Macam sesetengah ulama yang mencari hujah menghalalkan langkah haram.

Yang aku nak cerita ialah episod Dato Abdul Rahman yang merendah-rendahkan pelajar UK.

Tuan Penasihat Orang Kaya Sadek Sigeragar ni cakap budak-budak UK ni tak cukup maklumat, mendengar pandangan sebelah pihak, saudara kena begini, begitu dan bla bla bla......kenyataan yang betul-betul memperlekeh kita orang. Betul-betul layan macam budak sekolah menengah!

Telinga aku berdesing. Aku bangun minta dia tarik balik. Ini satu kenyataan yang menghina. Macamlah pariah sangat. Ramai yang tepuk sorak kasi sokongan kat aku. Aku ingat telinga aku je yang berdesing, rupa-rupanya ramai yang lain pun bukan setakat berdesing, berasap beb!

Lepas majlis tamat, aku sound sekali lagi mamat tu. Tak puas hati, sudahlah tak tarik balik, minta maaf jauh sekali. 'Apa Dato' cakap macam tu?' Dia jawab, `Sheikh, I bukan cakap tentang you…ni untuk diaorang yang tak faham ni…..bla bla….. '

Seelok-eloknya dia diam. Tap bila dia cakap, maka sahlah ………. (tak sopan nak tulis).

Muhaimin Sulam
UK.

Sunday, December 13, 2009

Petikan penulis Mokhtar Petah

Mokhtar Petah

Haji Mohd. Ghazali Jawi[1] kembali memegang jawatan Menteri Besar Perak kali yang kedua (1974 – 1977). Dia telah melakukan penyusunan baru dalam bidang pentadbirannya yang melibatkan kebanyakan rancangan dan projek Menteri Besar sebelumnya telah dihentikan atau di batalkan.

Di antara projek-projek Menteri Besar yang lalu diberhentikan, ialah akhbar suara kerajaan negeri Perak, Berita Perak. Kira-kira setahun kemudian, Berita Perak diterbitkan semula dengan bentuk lain dan menjadi gelanggang media bagi para politikus dalam parti politik pihak kerajaan. Suratkhabar itu diselanggarakan oleh Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Allahyarham Mohd.Arshad bin Abdullah. Sebelum meninggal dunia, dia memegang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan bergelar Dato’).

Kandungannya Berita Perak yang baru telah berbeza dengan kandungan Berita Perak di bawah pimpinanku. Hampir 80% kandungannya ada suara atau ucapan dari tokoh-tokoh dari parti politik kerajaan. Tidak lama kemudian surat khabar itu telah diberhentikan dan telah digantikan dengan sebuah suratkhabar lain.

Bandar Ipoh pada tahun-tahun 1970 – 1980-an, seperti bandar-bandar lain di seluruh negara, iaitu dibanjiri oleh para penghijrah yang berharap untuk mengutip rezeki mengubah corak kehidupan mereka di bandar. Mereka itu telah datang dari kampung-kampung seluruh negeri Perak dan negeri-negeri lain. Pada umumnya mereka menjadi buruh kerajaan, buruh kilang dan menjalankan perniagaan secara kecil atau sambilan.

Terdapat juga orang-orang kaya yang memiliki rumah besar, banglo atau memiliki banyak rumah dan haloba, telah mendirikan rumah-rumah bertaraf rumah setinggan dalam kawasan setinggan sekitar kawasan Bandaran Ipoh. Mereka telah menyewakan rumah-rumah mereka itu kepada setinggan-setinggan.

Setinggan-setinggan itu telah menduduki tanah-tanah Kerajaan Negeri (state lands) dan yang dimiliki oleh Kerajaan Pusat, seperti tanah Jabatan Kerjaraya, Jabatan Saliran dan sebagainya. Walaupun mereka setinggan yang sentiasa diperangi oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian negeri, tetapi Lembaga Letrik Negara telah membekalkan kuasa elektrik ke rumah-rumah mereka, begitu juga Jabatan Bekalan Air telah membenarkan setinggan-setinggan memasang paip dan membekalkan air kepada mereka.

Di antara setinggan-setinggan itu, ada juga beberapa orang kakitangan Pejabat Tanah Ipoh dan beberapa pejabat lain, guru sekolah kerajaan, anggota polis, tentera dan mereka yang menyokong parti politik kerajaan dan parti-parti politik pembangkang.

Pada masa itu ramai dari kalangan ahli parti-parti politik, golongan buruh, peniaga kecil, kakitangan kerajaan, warga kampung dan setinggan di sekitar kawasan Perak Tengah khasnya dan seluruh negeri Perak amnya kenal akan diriku ’seorang wartawan banyak mengkritik kerajaan’, maka apa jua masalah yang berlaku dalam masyarakat mereka, akulah menjadi tempat mereka mengadu atau meminta tolong.

Pada satu hari pegawai-pegawai Pejabat Tanah Ipoh dengan jentolak dan traktor telah datang untuk meroboh rumah – rumah setinggan, di Kampung Binaria, dekat lapangan Terbang Ipoh. Tiga orang wakil mereka, diketuai oleh Encik Zahid bin Siraj telah datang menemui aku dan meminta aku menolong mereka bagi menghalang tindakan pegawai-pegawai Pejabat Tanah tersebut.

Setelah mereka datang meminta pertolongan, aku rasa bertanggungjawab menolong mereka. Aku telah pergi ke pejabat Menteri Besar Perak untuk meminta surat dari Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Encik Yusof Bador bagi menahan atau membantah tindakan pegawai-pegawai Pejabat Tanah meruntuhkan rumah para setinggan tersebut

Aku telah membawa surat Setiausaha Sulit Menteri Besar itu kepada para pegawai Pejabat Tanah yang sedang meruntuhkan rumah-rumah setinggan di Kampung Binaria. Pada waktu aku tiba, dua tiga buah rumah setinggan telah dirobohkan. Surat tersebut telah menjadi penghalang kepada mereka untuk terus meroboh rumah-rumah setinggan itu.

Kebetulah pula, pada dua hari yang lalu seorang peniaga China telah memberi salinan cek bernilai RM5,000 kepadaku. Wang sebanyak itu telah diberikan oleh pihak jawatankuasa Jirat China kepada seorang pegawai di Pejabat Tanah Ipoh dengan tujuan suapaya dia meluluskan kawasan setinggan Melayu, di Kampung Binaria itu kepada pihak Jirat China.

Aku telah tiba di kampung Binaria itu pada jam 11.00 pagi dengan membawa kamera. Dua buah rumah setinggan di situ telah diroboh oleh kakitangan Pejabat Tanah dengan menggunakan jentolak. Mereka diketuai oleh ADO dan beberapa orang pegawai bawahannya dan dikawal oleh beberapa orang anggota polis.

Setelah aku mengambil gambar rumah-rumah yang telah roboh itu, maka aku telah menemui seorang dari pegawai-pegawai Pejabat Tanah itu. Dengan lagak sombongnya dia telah berkata kepadaku, ”...Encik Mokhtar, mike jangan nak halang kami, mike melakukan kesalahan menghalang pegawai kerajaan menjalankan tugas..., kami menjalankan arahan Menteri Besar, meke tau...”

Aku telah mengambil gambarnya dengan kameraku. Aku menarik keluar salinan cek bernilai RM5,000 dari saku bajuku dan menunjukkan kepadanya. Aku telah bertanya, ”...siapa terima wang ni, ...Encik, bukan?”

Pegawai itu mengamati kertas salinan cek di tanganku. Dia terpegun. Mukanya pucat dalam cahaya matahari. Sambil merenung kepada Penolong Pegawai Daerah yang sedang berdiri dekat kerangka rumah setinggan yang telah roboh, dia melaung kepada semua kakitangannya supaya berhenti meroboh rumah-rumah setinggan di situ.

Kemudian pegawai itu datang merapatiku dan merayu, ”...tolong, Encik Mokhtar,...I, I..., kami tak roboh lagi..., tolong jangan siarkan...”

Pada petang itu aku telah menemui Menteri Besar, Ghazali Jawi dan aku telah bertanya kepadanya, “...betul ke Tan Sri telah beri arahan merobohkan rumah setinggan di Kampung Binaria?”.

Ghazali Jawi tercengang.

”Kerajaan kita kerajaan politik, ...kalau Tan Sri beri arahan, setinggan-setinggan tu tak akan mengundi parti Tan Sri..., dia orang akan pilih pembangkang...,”kataku.

”Apa pendapat mike?” Ghazali Jawi bertanya.

”...Tan Sri kena cari jalan, walaupun perbuatan setinggan-setinggan tu salah, tapi undang-undang boleh diatasi dengan rasa perikemanusiaan, tidak semua undang-undang adil, kecualilah undang-undang Tuhan,”aku berkata.

”Ia, ...betul, betul kata mike tu,”sahut Ghazali Jawi.

”...Encik Mokhtar, kita sama-sama berjuang dalam UMNO dulu, ...saya minta Encik Mokhtar tolong berunding dengan semua setinggan sekitar Ipoh ni, biar deme tu sukat tanah tapak rumah deme tu kira- kira 100 X 50 atau 90X60 persegi, saya akan arahkan Pejabat Tanah luluskan tanah deme tu,”katanya.

”Baik, Tan Sri...,”sahutku.

Aku telah meminta kepada Ghazali Jawi supaya dia mengambil langkah-langkah yang dinamik, seperti mengarahkan pihak pejabat tanah Kinta dan Ipoh meluluskan tanah-tanah setinggan sekitar Bandar Ipoh. Dia telah berjanjikan menunaikan permintaanku itu.

Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri, Ghazali Jawi telah mengumumkan, bahawa dia telah mengarahkan Pejabat Tanah Kinta dan Ipoh supaya meluluskan kebanyakan tanah kerajaan negeri kepada setinggan-setinggan.

Kira-kira dua bulan kemudian semua tanah tapak rumah yang telah diteroka oleh setinggan-setinggan Melayu di Kampung Binaria telah diluluskan kepada mereka

Dengan kehendak Ghazali Jawi, sidang Dewan Undang Negeri Perak yang telah berlangsung pada beberapa bulan kemudiannya telah membuat keputusan, iaitu mana-mana tanah Kerajaan Negeri yang tidak ada rancangan di atasnya, yang telah diduduki oleh setinggan-setinggan Bumiputra hendaklah diluluskan kepada mereka.

Semenjak itulah, Kerajaan Negeri Perak telah lebih mementingkan masalah setinggan daripada mementingkan syarikat-syarikat yang membina kawasan perumahan untuk mengaut keuntungan.

[1] Tan Sri Ghazali Jawi berasal dari Kampung Bukit Nangka, Lenggong, Perak. Menteri Besar Perak

pertama setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Dia telah

melepaskan jawatannya pada tahun 1963 kerana dia ditahan oleh polis setelah difitnah menerima

rasuah sejumlah wang. Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman dengan kuasa yang ada padanya telah

mengambil langkah membatalkan kes itu dan telah melantiknya sebagai Duta PTM ke Republik

Arab Bersatu, Mesir. Sekembali dari Mesir , dia telah bertanding dalam pilihanraya Fedara kawasan

Kuala Kangsar dan kemudian memegang jawatan Menteri Pertanian. Pada tahun 1974 kembali

menjadi Menteri Besar Perak kali yang kedua. Aku mengakui Ghazali Jawi seorang ahli politik

Melayu yang bijak dan tegas menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin kerajaan Negeri

Perak.

(Sedutan dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. - Editor, Petah Shahrir Aidid).

Tuesday, December 8, 2009

Aku minta kepada TUHAN setangkai bunga segar..
TUHAN memberiku kaktus berduri..
Aku minta TUHAN seekor kupu-kupu..
TUHAN memberiku seekor ulat bulu..

Aku sedih dan kecewa..
Namun kemudian..
Kaktus itu berbunga indah sekali..
Dan ulat bulu itu berubah menjadi kupu-kupu cantik..
Itulah jalan TUHAN..indah pada masaNya!

TUHAN tidak memberi apa yang kita harapkan..
Tapi TUHAN memberikan apa yang kita perlukan..
Kadang-kadang kita sedih, kecewa dan terluka..
Tapi jauh di atas segalanya TUHAN telah mengatur yang terbaik dalam kehidupan kita..